Wavy Tail

Monday, December 2, 2019

Tantrum Kanak-Kanak


Tantrum merupakan perkara yang normal untuk kanak-kanak yang berusia setahun setengah hingga 4 tahun tetapi ianya menguji kesabaran ibu bapa kerana pada umur kanak-kanak ketika ini, mereka menginginkan hak kebebasan bermain tetapi ibu bapa telah menghadkan keinginan kanak-kanak bermain dari segi keselamatan supaya kanak-kanak tidak tercedera dan mengelakkan kemalangan. 
Disebabkan itu, kanak-kanak akan mengamuk dan menangis kerana mereka tidak puas untuk bermain serta kecewa apabila orang dewasa menahan mereka daripada bermain mengikut keinginan mereka serta tidak memperoleh barang mainan yang mereka mahukan. 
Tantrum boleh berlaku kepada kanak-kanak seperti menangis, meraung, menjerit, memukul orang disekeliling mereka, menendang atau memecahkan barang dan kanak-kanak itu berkelakuan ganas. 
Kanak-kanak yang mengalami tantrum hanya akan berhenti apabila perkara yang mereka inginkan tercapai. Sebagai contoh, di pasaraya mereka meminta ibu bapa mereka belikan barang mainan tetapi ibu bapa mereka menolak permintaan anaknya. Anaknya akan meraung dan menangis di dalam pasaraya sehingga ibu bapa mereka membeli barang mainan tersebut.

 CARA MENGAWAL TANTRUM KANAK-KANAK

1.    Ibu bapa perlu memastikan sebab anak-anak mengamuk. Cuba bertanya kepada anak-anak perkara yang mereka mahukan. Perhatikan persekitaran kanak-kanak dan jauhkan kanak-kanak dengan perkara yang boleh mencederakan kanak-kanak atau kanak-kanak itu membaling barang dipersekitaran mereka sehingga ibu bapa terluka. 


2.    Ibu bapa mestilah bijak mengalih perhatian kanak-kanak kepada perkara yang dapat kanak-kanak lupa akan perlakuan tantrum. Jika kanak-kanak tidak puas bermain di taman permainan tetapi cuaca tidak mengizinkan, cubalah menarik perhatian mereka berkaitan aktiviti yang boleh dibuat di rumah seperti memasak, bermain bola di rumah dan sebagainya. 


3.    Ibu bapa haruslah meluangkan masa bersama kanak-kanak dengan melakukan aktiviti luar seperti bermain di taman permainan, bersiar-siar di zoo atau berkelah. Kanak-kanak yang tantrum, mungkin tertekan kerana bosan tiada perkara yang dilakukan di rumah dan kurang perhatian daripada ibu bapa kerana sibuk bekerja. Ianya juga baik untuk perkembangan kanak-kanak yang sedang membesar dan kanak-kanak akan seronok meluangkan masa bersama ibu bapa mereka. 


4.    Kanak-kanak yang kurang tidur juga boleh membuat perangai tantrum. Kebiasaanya, kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun memerlukan            10 -12 jam untuk tidur secukupnya dalam sehari. Tetapi, jika kanak-kanak hanya menangis atau mengamuk pada waktu pagi, perhatikan pada hari biasa atau pada hari minggu. Kanak-kanak yang mengamuk pada hari biasa, mereka malas ke tadika atau taska. 


5.    Jangan terlalu ikut tantrum kanak-kanak kerana mereka akan berhenti apabila mereka sudah penat. Apabila mereka sudah sedikit reda, pergilah kepada kanak-kanak dan memeluk mereka serta cuba berkomunikasi dengan mereka. Mungkin mereka merasakan sesuatu yang tidak kena tetapi kanak-kanak tidak pandai memberitahu ibu bapa mereka. Oleh kerana itu, mereka menangis dan meraung untuk meminta perhatian dari ibu bapa.

         Rujukan
   

Sunday, December 1, 2019

Bahaya Bermain Gajet untuk Kanak-Kanak

Bermain gajet sudah menjadi salah satu hobi utama dalam kalangan kanak-kanak. Kanak-kanak sanggup tidak makan dan minum apabila ibu bapa mereka memberikan gajet kepada mereka. Ibu bapa pula hanya memberikan gajet kepada kanak-kanak dengan alasan tidak mahu kanak-kanak mengganggu kerja mereka atau kanak-kanak buas sehingga ibu bapa tidak dapat mengawal kanak-kanak tersebut. Tanpa ibu bapa menyedari bahawa tingkah mereka itu silap dalam menangani kanak-kanak dengan memberi kanak-kanak bermain gajet. Kami pernah mendengar satu pepatah yang mengatakan bahawa biarlah melihat kanak-kanak menangis sekarang tetapi jangan ibu bapa yang menangis di kemudian hari. Berikut adalah beberapa kesan kepada kanak-kanak jika gemar bermain gajet:

 

Kanak-kanak akan mempunyai masalah fizikal seperti masalah mata kerana terlalu kerap bermain gajet. Kanak-kanak menatap skrin telefon dari kanak-kanak bangun tidur hinggalah kanak-kanak itu tidur kembali. Tanpa mereka sedari, kanak-kanak akan mempunyai masalah penglihatan. Apabila kanak-kanak mempunyai masalah rabun mata, pembelajaran kanak-kanak juga akan terganggu. Perbelanjaan ibu bapa juga akan meningkat kerana menempah kaca mata untuk kanak-kanak belajar.



Tidur kanak-kanak juga akan terganggu kerana kanak-kanak memerlukan tidur sebanyak 10 hingga 12 jam dalam sehari. Jika kanak-kanak tidak cukup tidur, emosi kanak-kanak akan terganggu dan selalu mengamuk apabila kawan-kawan mereka atau ibu bapa mereka tidak mengikut kehendak mereka. Oleh itu, kanak-kanak akan mengamuk apabila ibu bapa atau kawan-kawannya mengganggu mereka bermain gajet.




Penyakit speech delay telah dikatakan meningkat, bak kata pepatah bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini disebabkan, kanak-kanak kurang berkomunikasi dengan orang di sekeliling mereka kerana taksub bermain gajet. Ibu bapa juga bekerja dari pagi hinggalah petang menyebabkan mereka kurang berkomunikasi dengan kanak-kanak. Apabila mereka berkumpul, ibu bapa sibuk menatap telefon bimbit kerana perbualan dalam talian seperti whatsapps begitu juga kanak-kanak yang sibuk bermain permainan dalam gajet.


Kanak-kanak yang bermain gajet seakan sedang diajar bersikap agresif dan sikap tidak suka berkongsi. Pernyataan itu diungkapkan kerana mengikut pemerhatian kami, kanak-kanak yang tidak dapat bermain gajet akan bersikap agresif kepada ibu bapa. Sebagai contoh, kanak-kanak akan memukul ibunya kerana ibunya mengambil telefon pintar tanpa mengira orang yang dipukul itu ialah ibu kita sendiri. Bukan itu sahaja, kita juga dapat melihat kanak-kanak tidak gemar berkongsi satu telefon pintar dengan adik-beradik mereka kerana sudah menjadi tabiat mereka menjadikan telefon pintar hak milik mereka.


Kanak-kanak akan mudah mempunyai penyakit yang kronik seperti barah. Hal ini kerana, radiasi dari telefon pintar ini mudah diserap oleh kanak-kanak disebabkan kulit otak, tisu-tisu badan serta tulang kanak-kanak yang nipis berbanding dengan kulit orang dewasa. Perkara ini amat merisaukan kerana umur kanak-kanak merupakan peringkat dimana perkembangan itu tumbuh dengan pesat. Ianya akan menyerap dengan cepat dan menjerumuskan kanak-kanak kepada penyakit yang berbahaya.


    Oleh itu, orang dewasa atau ibu bapa perlulah mengawal kanak-kanak daripada bermain gajet. Bermain gajet tidak salah tetapi jika terlalu taksud menyebabkan perkara-perkara buruk berlaku, lebih baik kita mengelaknya. Ibu bapa perlu menghadkan masa bermain gajet dan lebihkan kanak-kanak dengan permainan yang menyeronokkan. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga perlulah menunjukkan contoh teladan yang baik seperti membaca buku cerita atau bersiar-siar di taman permainan. Aktiviti tersebut boleh mendatang faedah kepada kanak-kanak dan juga ibu bapa tersebut. Biarlah kita berkorban untuk anak-anak yang kita sayang daripada menyesal di kemudian hari.


Rujukan 

Friday, November 29, 2019

Anyaman



Aktiviti anyaman dapat meningkatkan koordinasi mata dan tangan kepada kanak-kanak. Kanak-kanak akan memberi perhatian yang penuh terhadap anyaman yang  mereka buat supaya mendapat hasil  anyaman yaing kemas dan cantik. Oleh itu, daya fokus kanak-kanak akan meningkat. 

Selain itu, aktiviti ini dapat meningkatkan perkembangan motor halus kanak-kanak. Motor halus amat penting bagi kanak-kanak supaya mereka dapat menulis dan melakukan aktiviti harian dengan baik. 

Seterusnya, kanak-kanak dapat mengenal bentuk anyaman tikar menggunakan kertas berwarna. Tambahan pula. aktiviti ini dapat membantu kanak-kanak menjadi kreatif. Kanak-kanak akan membuat anyaman mengikut kekreaktifan mereka. 

Akhir sekali, aktiviti ini dapat membantu kanak-kanak berkomunikasi dengan guru dan kawan-kawan semasa aktiviti ini dijalankan.

  

         Bahan-bahan:
-          Kertas warna
-          Gunting
-          Pembaris
-          Pensel
-          Kertas A4

Cara-cara:
1.  Lukis segi empat tepat di atas kertas A4 menggunakan pensel dan pembaris.

2.   Lukis 14 garisan lurus di dalam segi empat tepat secara menegak dengan   jarak 1 cm di antara garisan-garisan tersebut. 


3.      Guntingkan 14 garis tersebut dengan kemas. 

4.      Kemudian, sediakan kertas warna. 

5.      Lukis 14 garis lurus secara menegak dengan jarak 1 cm di antara garisan-  garisan tersebut. 


6.      Gunting 14 garis tersebut dengan kemas. 


7.      Masukkan 14 garis berwarna  tersebut ke dalam kertas A4 seperti gambar di bawah secara selang-seli.

 
 
Anyaman yang telah siap !


  RUJUKAN: 

  1.       http://belajarsenivisual.blogspot.com/2011/10/anyaman-tikar-kertas.html?m=1

Friday, November 22, 2019

Capan


 Capan ialah teknik mengecap dengan bahan alam atau semula jadi yang mempunyai jalinan tertentu. Seterusnya, capan berbeza dengan cetakan kerana tidak perlu menyediakan blok cetakan. Capan yang dihasilkan hanya bergantung kepada jalinan di permukaan bahan semula jadi atau bahan alam tersebut.

 Kebaikan capan kepada kanak-kanak ialah dapat membantu meningkatkan kreativiti dan daya fokus kanak-kanak.

Selain itu, aktiviti capan amat mudah untuk dilakukan dan menggunakan bahan yang sedia ada di rumah. Oleh itu, ibu bapa dan guru dapat menjimatkan wang untuk membeli bahan-bahan untuk membuat capan. 

Akhir sekali, aktiviti capan dapat membantu meningkatkan kreativiti kanak-kanak dalam menciptakan suatu lukisan. Contohnya, kanak-kanak menggunakan cap jari bagi menghasilkan corak bunga dan sebagainya.

Bahan-bahan lain:


  • Cat air
  • Gunting
  • Kertas lukisan
  • Pisau                   

Cara-cara:

     1.      Sediakan kertas lukisan.

     2.      Potong bahan-bahan seperti ubi kentang, bawang dan kacang bendi untuk dapatkan
           corakkan.

    3.      Sediakan cat air.

    4.      Celupkan bahan-bahan capan ke dalam cat air.

    5.      Lekatkan corak yang telah diwarnakan pada bahan ke atas kertas lukisan.

    Bahan-bahan (contoh bahan semula jadi yang boleh digunakan untuk membuat capan):

-Ubi kentang


-Bawang


-Cap jari


-Bendi



-Daun




-Pelepah pisang


-Cap tangan 



RUJUKAN : 

  1.   https://www.youtube.com/watch?v=RycryBljVcE
  2. http://bloginspirasidiariseni.blogspot.com/2012/03/capan.html
  3. https://ekspresikreativiti.wordpress.com/category/seni-visual/capan/
  4. http://www.lubukseni.com/2015/10/capan.html
  5. https://www.youtube.com/watch?v=ViQJ8D0jJ1Y
  6. http://limpooihoon.blogspot.com/2012/10/seni-visual-teknik-capan.html
  7. https://www.facebook.com/pg/mummychildcare/photos/?tab=album&album_id=1330902346975795

Friday, November 15, 2019

Gurisan



Aktiviti gurisan dilakukan mengunakan sesuatu alat yang tajam untuk mengguris keluar sesuatu bahan yang lembut dari sesuatu permukaan. Gurisan merupakan permainan yang sangat diminati oleh kanak-kanak.

Antara kepentingan aktiviti gurisan kepada kanak-kanak termasuklah dapat meningkatkan 
daya imaginasi, menguatkan motor halus, meningkatkan daya fokus dan meningkatkan kreativiti kanak-kanak.

Seterusnya , kanak-kanak dapat mengenal pelbagai warna melalui warna krayon yang digunakan dalam gurisan tersebut.

Selain itu, aktiviti ini dapat meningkatkan koordinasi tangan dan mata kanak-kanak. Ia amat penting bagi kanak-kanak untuk memegang pensel dengan betul.

Tambahan pula, aktiviti ini boleh meningkatkan daya imaginasi kanak-kanak. Hal ini kerana gurisan  memberi peluang kepada kanak-kanak untuk melukis mengikut imaginasi mereka 

Akhir sekali, kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran sosial. Hal ini kerana kanak-kanak akan berinteraksi dengan guru dan rakan-rakan ketika menghasilkan gurisan di dalam kelas. Oleh itu, kanak-kanak akan mempunyai keyakinan diri untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling.




Bahan-bahan:


·         Kertas lukisan
·         Krayon
·         Lidi


Cara –cara membuat gurisan:

1.      Sediakan kertas lukisan.


2   Warnakan kertas lukisan tersebut dengan warna yang berbeza-beza dengan menggunakan krayon.


3.   Warnakan semua permukaan kertas lukisan dengan warna krayon hitam diatas warna krayon yang berbeza-beza tadi.







4.  Guriskan krayon tersebut dengan menggunakan lidi untuk membuat lukisan seperti rama-rama, binatang, buah-buahan, pemandangan dan sebagainya.







Friday, November 8, 2019

Origami


    Membuat origami dapat mengajar kanak-kanak tentang erti kesabaran. Kanak-kanak akan bersabar membuat origami daripada langkah pertama hingga langkah terakhir. Kanak-kanak juga akan akan membuat origami semula apabila origami pertama tidak berjaya atau gagal.  
     Seterusnya, membuat origami juga mengajar kanak-kanak mengenai kerjasama. Kanak-kanak yang mahir dalam membuat origami akan membantu rakan-rakan mereka yang kurang mahir agar rakan mereka berjaya melakukan origami.   
     Selain itu, origami juga dapat membantu kanak-kanak meningkatkan perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak. Hal ini kerana dapat memberi peluang kepada kanak-kanak untuk berinteraksi dan meningkatkan keupayaaan bersosial sesama mereka. Membuat origami bersama-sama keluarga dan rakan-rakan dapat memberikan kegembiraan kepada kanak-kanak di samping mengeratkan hubungan. Oleh itu, membuat origami memberikan emosi positif kepada kanak-kanak.  
    Begitu juga dengan dapat meningkatkan daya ingatan kanak-kanak. Membuat origami memerlukan kanak-kanak untuk mengingat langkah-langkah membuat origami.  
     Di samping itu, origami dapat meningkatkan motor halus kanak-kanak. Hal ini kerana membuat origami memerlukan penyelarasan mata dan tangan. 
    Akhir sekali, origami dapat meningkatkan daya fokus. Kanak-kanak memerlukan tumpuan sepenuhnya dalam menyelesaikan origami.

       ORIGAMI BOAT

       Bahan-bahan: 
      -          Kertas berwarna bersaiz A4
  Cara-cara membuat origami bot:    
     1.      Sediakan kertas bersaiz A4.

2.      Lipat kertas tersebut menjadi separuh.

3.      Lipat seperti gambar di bawah.

4.      Bahagian bawah kertas lipat ke atas. 

5.      Ulang langkah sama pada bahagian belakang kertas.


6.      Buka dan lipatkan sudut bawah disepanjang lipatan.


7.      Buka dan masukkan flap yang bertindih.

8.      Lipat satu lapisan sehingga ke atas dan ulangi yang sama di sisi lain juga.


   9.     Buka kertas seperti gambar di bawah.



10.      Tarik bahagian kanan dan bahagian kiri dengan serentak sehingga menjadi          bentuk bot. 



RUJUKAN:

  1. https://www.youtube.com/watch?v=b3QZpBL8-Tg
  2. https://www.redtedart.com/educational-benefits-of-origami/

Friday, November 1, 2019

Melukis


Aktiviti melukis amat penting bagi meningkatkan perkembangan emosi kanak-kanak. Hal ini kerana kanak-kanak dapat meluahkan perasaan mereka melalui lukisan.

Seterusnya, melukis dapat meningkatkan kemahiran kognitif. Apabila ibu bapa dan guru meminta kanak-kanak untuk menceritakan mengenai lukisan mereka, kanak-kanak akan berfikir dan menerangkan lukisan mereka.

Selain itu, aktiviti tersebut juga dapat meningkatkan perkembangan sosial kanak-kanak. Hal ini kerana apabila ibu bapa atau guru bertanya kepada kanak-kanak mengenai lukisan mereka, kanak-kanak akan menerangkan tentang lukisan mereka. Oleh itu, aktiviti tersebut dapat meningkatkan kemahiran komunikasi kanak-kanak.

Kebanyakan kanak-kanak mempunyai daya fokus yang singkat. Kanak-kanak yang berumur 16 hingga 19 bulan biasanya hanya mampu memberi tumpuan kepada sesuatu tugas dalam 2 hingga 3 minit. Walaubagaimanapun, melukis dapat meningkatkan daya tumpuan kanak-kanak.

Melukis dapat meningkatkan keyakinan kanak-kanak. Apabila ibu bapa dan guru memuji lukisan mereka, kanak-kanak akan bermotivasi untuk melukis dengan yakin.

Melukis dapat meningkatkan motor halus kanak-kanak. Semakin banyak kanak-kanak membuat lukisan pada kertas, semakin cepat kanak-kanak mengembangkan keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti ke peringkat seterusnya seperti mewarna dan menulis.

Melukis dapat meningkatkan visual kanak-kanak. Kanak-kanak akan memahami beberapa konsep melalui lukisan seperti jarak, ruang, tekstur dan saiz.
Bahan-bahan:

-          Kertas lukisan
-          Pensel
-          Pensel warna/ krayon/ cat air

Cara-cara melukis:

1.      Berikan sehelai kertas lukisan dan satu batang pensel kepada kanak-kanak.
2.      Berikan satu tema atau tema bebas untuk mereka melukis.
3.      Biarkan mereka melukis mengikut kreativiti mereka.
4.      Berikan pensel warna atau krayon atau cat air kepada kanak-kanak jika mereka ingin mewarna lukisan mereka.

Ibu bapa dan guru hendaklah memuji lukisan mereka agar keyakinan diri mereka meningkat dan gembira.




Origami

    Membuat origami dapat mengajar kanak-kanak tentang erti kesabaran. Kanak-kanak akan bersabar membuat origami daripada langkah pertama...