Wavy Tail

Thursday, October 17, 2019

Bermain Blok (Block Play)

Bermain merupakan permainan yang sangat penting kepada kanak-kanak bagi meningkatkan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Blok terdapat dalam pelbagai bentuk, saiz dan warna. Bermain blok dapat merangsang minda dan pembelajaran dari usia seawal peringkat bayi hingga ke tahap prasekolah. Dr Yong Junina Fadzil iaitu perunding pediatrik dan pakar kardiologi pediatrik menggalakkan ibu bapa memberikan permainan blok seawal usia setahun agar kanak-kanak dapat meluaskan daya imaginasi dan dapat mencipta bentuk yang kanak-kanak inginkan. 


KEPENTINGAN BERMAIN BLOK 

1.       Meningkatkan perkembangan sosial 
Bermain blok dapat meningkatkan perkembangan sosial kanak-kanak. Hal ini kerana bermain blok dapat mewujudkan interaksi dua hala apabila bermain di dalam kumpulan. Bermain blok juga dapat mewujudkan kerjasama antara kanak-kanak. Ibu bapa haruslah menyertai kanak-kanak bermain blok supaya dapat merapatkan hubungan kekeluargaan dan dapat menjadikan permainan tersebut lebih ceria dan menyeronokkan. Bermain blok bersama rakan-rakan dan ibu bapa dapat menambah kosa kata dan melatih kanak-kanak untuk bercakap. 
2.       Meningkatkan motor halus 

Bermain blok dapat meningkatkan daya koordinasi antara mata dan tangan kanak-kanak. Bermain blok juga dapat membina kekuatan jari dan tangan. Hal ini kerana kanak-kanak akan mengambil, menyusun dan memadankan blok untuk membina sesuatu. Pergerakan tangan dan jari apabila bermain blok dapat membantu mempercepatkan proses memegang pensel dengan betul. 
3.       Meningkatkan imaginasi dan merangsang kreativiti 

Bermain blok memberi peluang kepada kanak-kanak untuk membina sesuatu mengikut daya imaginasi mereka. Kanak-kanak akan gembira dan berpuas hati apabila melihat hasil ciptaan blok mereka. Ibu bapa boleh bertanya dan meminta kanak-kanak menerangkan hasil ciptaan mereka bagi menambah daya kreativiti kanak-kanak. 
4.       Meningkatkan kemahiran matematik 
Apabila kanak-kanak bermain dengan blok, mereka akan terdedah kepada pelbagai konsep matematik seperti bentuk, saiz, pengukuran, panjang, perbandingan dan nombor. Terdapat satu kajian “Block Play Performance among Preschoolers as a Predictor of Later School Achievement in Mathematics” di dalam Jurnal Penyelidikan Awal Kanak-kanak menyatakan bahawa kanak-kanak yang bermain blok apabila mereka berumur tiga, empat dan lima tahun akan berjaya dalam matematik, terutamanya Algebra di peringkat sekolah menengah.  
6 PERINGKAT YANG DIJANGKAKAN DALAM BERMAIN BLOK 
Peringkat 1- Membawa blok  
Peringkat 2- Menyusun blok dan membuat jalan 
Peringkat 3- Menyambung blok untuk membina struktur 
Peringkat 4- Membuat penutup 
Peringkat 5- Membuat pembinaan atau corak yang rumit 
Peringkat 6- Bermain dramatik dengan struktur kompleks

No comments:

Post a Comment

Origami

    Membuat origami dapat mengajar kanak-kanak tentang erti kesabaran. Kanak-kanak akan bersabar membuat origami daripada langkah pertama...