Bermain basikal merupakan aktiviti fizikal yang menyeronokkan kepada kanak-kanak. Aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan jika dilaksanakan bersama-sama keluarga. Oleh itu, ibu bapa haruslah menyertai kanak-kanak bermain basikal agar dapat memperkukuhkan hubungan dengan kanak-kanak. Bermain basikal di luar rumah atau di taman rekreasi dapat mendedahkan kanak-kanak terhadap alam semula jadi dan menghirup udara yang segar.
Ibu bapa boleh menggalakkan kanak-kanak bermain basikal apabila kanak-kanak sudah boleh berjalan. Ibu bapa wajarlah memilih basikal imbang berbanding basikal roda tiga kerana basikal imbang mempunyai banyak manfaatnya. Antaranya adalah basikal imbang dapat bergerak dengan lebih lancar pada tempat yang berbatu, berbukit dan tidak mudah terbalik berbanding basikal roda tiga. Kanak-kanak juga dapat belajar menyeimbangkan badan dengan menggunakan basikal imbang.
KEPENTINGAN BERMAIN BASIKAL
1. Meningkatkan perkembangan emosi
Bermain basikal dapat meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak kerana mereka bergerak secara bebas. Kanak-kanak dapat mengenali dunia di sekeliling mereka dan berasa selesa dengan persekitaran mereka. Hal ini dapat memberi keyakinan kepada kanak-kanak untuk berada di luar rumah tanpa rasa takut. Bermain basikal dengan keluarga dan rakan-rakan dapat menjadikan kanak-kanak lebih bahagia dan positif.
2. Menguatkan otot dan tulang
Bermain basikal dapat menguatkan otot-otot kanak-kanak. Bermain basikal juga dapat menguatkan tulang di bahagian atas anggota badan dan tulang belakang. Oleh itu, risiko kecederaan tulang kepada kanak-kanak akan berkurangan. Aktiviti berbasikal juga dapat menguatkan tulang kaki dan sendi lutut. Oleh hal yang demikian, berbasikal dapat membantu proses tumbesaran kanak-kanak dan menjadikan mereka lebih tinggi.
3. Meningkatkan perkembangan sosial
Bermain basikal membantu kanak-kanak bersosial dengan rakan-rakan serta orang sekeliling mereka. Hal ini dapat meningkatkan kemahiran komunikasi kanak-kanak. Bermain basikal juga dapat memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mempunyai kawan baru, berkongsi pandangan dan rahsia serta berseronok dengan rakan-rakan dan ibu bapa.RUJUKAN:
- http://aktif.myhealth.gov.my/berbasikal/
- https://hotaru.my/5-sebab-anda-guna-pushbike/
- https://parenting.firstcry.com/articles/amazing-health-benefits-of-cycling-for-kids/
- Putri Afzan Maria Zulkifli. (2019). Ada Apa Dengan Bermain. Kuala Lumpur: EYTC Group & Resources Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment