Wavy Tail

Thursday, October 10, 2019

Bermain Comot (Messy Play)


Bermain comot merupakan suatu permainan yang kreatif. Kanak-kanak dapat meluahkan perasaan dan meneroka imaginasi mereka melalui bermain comot. Bermain comot menyediakan kanak-kanak dengan pengalaman sentuhan dan mengilham rasa ingin tahu mereka. Bermain comot dapat memberikan kanak-kanak meneroka tekstur baru dan memanipulasi bahan yang berbeza melalui sentuhan.

Bermain comot juga dapat meningkatkan perkembangan kanak-kanak secara holistik iaitu dari segi jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial. 


 KEPENTINGAN BERMAIN COMOT 

1.     Meningkatkan kemahiran motor halus 

                                    
Bermain comot dapat membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran motor halus mereka. Apabila kanak-kanak memerah doh lembut, bermain pasir dan bermain buih, kanak-kanak akan menggunakan otot-otot di jari, pergelangan tangan, lengan, kaki dan bahu bagi membuat pergerakan kecil yang dapat meningkatkan kemahiran motor halus. 

2.     Meningkatkan kemahiran motor kasar



Bermain comot dapat meningkatkan kemahiran motor kasar kanak-kanak apabila permainan tersebut meningkat ke peringkat seterusnya. Apabila kanak-kanak melompat di dalam air, kanak-kanak menggunakan otot yang lebih besar iaitu tangan, kaki dan badan bagi membuat pergerakan yang lebih besar yang dapat menyokong keseimbangan, koordinasi dan kekuatan. 

3.     Menguatkan otot


Bermain comot dapat menguatkan otot-otot di tangan dan jari kanak-kanak. Apabila otot-otot tangan mereka semakin meningkat, tangan kanak-kanak bersedia untuk memegang pensel dan mengawal pergerakan untuk menulis. Bermain di dalam lumpur juga dapat menguatkan otot iaitu otot-otot di kaki. 

4.     Koordinasi mata dan tangan


Bermain comot memberi peluang kepada kanak-kanak bereksperimen melalui sentuhan yang juga dapat meningkatkan koordinasi mata dan tangan kanak-kanak. Apabila kanak-kanak bermain tanah liat dan menguntai manik, penumpuan mereka meningkat dan dapat mengembangkan koordinasi mata dan tangan mereka. 

5.     Kawalan badan dan keseimbangan


Bermain comot dapat meningkatkan kawalan badan kanak-kanak dan mengimbangi pergerakan kecil dan besar yang mereka lakukan ketika bermain. Apabila kanak-kanak menuang air dari satu bekas ke tempat lain dan bermain di dalam kolam, ia dapat membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran motor halus dan kasar serta dapat meningkatkan kawalan dan keseimbangan mereka. 

6.     Kesedaran Spatial

Bermain comot memberi peluang kepada kanak-kanak untuk belajar tentang sempadan. Sebelum bermain, ibu bapa dan guru haruslah menetapkan peraturan. Sebagai contoh, kita hanya bermain pasir di dalam bekas pasir dan kita hanya mewarna di atas dulang. Oleh itu, kanak-kanak akan belajar untuk mengenal sempadan dan tidak membuat kotor pada ruang lain.

Konklusinya, ibu bapa boleh bermain comot bersama kanak-kanak pada setiap hari iaitu ketika waktu mandi, makan, memasak dan berkebun. Ibu bapa patut meluangkan masa bersama kanak-kanak dan jadikannya satu kebiasaan bagi memastikan hubungan yang kukuh sehingga mereka membesar.

RUJUKAN:

  1. https://www.majalahpama.my/biarlah-anak-comot-dan-main-kotor-sebab-itu-tandanya-mereka-sedang-belajar-banyak-benda/
  2. https://www.yoy.my/anak-yang-comot-3-kali-ganda-lebih-sihat-dan-bijak-lihat-5-aktiviti-kotor-yang-bermanfaat-ini/
  3. http://www.earlyyearsresources.co.uk/blog/2018/06/messy-play-physical-benefits/
  4. Putri Afzan Maria Zulkifli. (2019). Ada Apa Dengan Bermain. Kuala Lumpur: EYTC Group & Resources Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment

Origami

    Membuat origami dapat mengajar kanak-kanak tentang erti kesabaran. Kanak-kanak akan bersabar membuat origami daripada langkah pertama...