Wavy Tail

Tuesday, December 3, 2019

Penderaan Kanak-Kanak



Dikala kita terdengar perkataan penderaan. Apakah yang terbayang di fikiran? Pasti kita akan membayangkan mereka yang disepak, diterajang, dan dipukul tanpa belas kasihan. Dengan zaman yang serba moden ini, pasti semua akan  mengangkat telefon bimbit dan merakam tanpa sekelumit perasaan untuk membantu mereka yang dikasari di depan mata kita sendiri. Video itu disebarkan dan diviralkan di laman sosial dengan berleluasa. Kita menjatuhkan hukuman kepada pendera melalui komen-komen yang tak berguna dengan hujung jari sahaja. Perkara itu kita lakukan dengan perasaan bangga kerana para netizen mengutuk perbuatan pendera tetapi perkara itu sudah menjadi satu penderaan psikologi. 
Kategori penderaan di malaysia ialah: 
1. Penderaan fizikal. 

Penderaan fizikal merupakan tindakan keras yang dilakukan dengan memukul, menumbuk, menendang dan sebagainya yang dapat mencederakan tubuh badan seseorang atau menghalang keperluan seseorang seperti makan dan minum menyebabkan mangsa lapar da tidak bertenaga. Penderaan fizikal ini berlaku dikala ibu bapa yang tidak mempunyai ilmu dan rasa tanggungjawab terhadap anak-anak mereka sendiri. Pada kebiasaannya, pasangan suami isteri yang kerap mendera anak-anak mereka ialah pasangan yang berkahwin muda. Mereka menganggap berkahwin muda dapat mengelakkan maksiat tetapi mereka tidak sedar apabila mereka melangkah masuk ke alam perkahwinan, mereka akan memikul tanggungjawab yang besar terutamanya para suami. Para suami atau bapa yang penat seharian mencari nafkah untuk menyara isteri dan anak mereka. Apatah lagi, beban hutang pengajian yang belum dilangsaikan sepenuhnya menyebabkan mereka tertekan. Mereka melepaskan tekanan mereka melalui cara memukul anak-anak mereka tanpa rasa belas kasihan. 
2. Penderaan psikologi dan emosi.  

Penderaan psikologi dan emosi terhadap kanak-kanak menurut Kasmini(1998) mengatakan bahawa penderaan emosi merupakan satu trauma psikologi yang mencerobohi lilitan dan lapisan perlindungan minda sehingga minda seseorang terganggu untuk jangka masa pendek atau panjang mengikut keamatan trauma yang berlaku. Sebagai contoh, memberi ugutan, penghinaan, menjatuhkan maruah seseorang terutamanya kanak-kanak. Penderaan emosi wajarlah diambil perhatian yang teramat kerana ia dapat membantutkan perkembangan kanak-kanak yang sedang berkembang. Bukan itu sahaja, pembelajaran kanak-kanak juga akan terganggu sehingga menjejaskan kehidupan warna-warni kanak-kanak tersebut. 
Kasmini menyatakan bahawa terdapat 5 ciri penderaan emosi: 
a)        Penolakan - Perlakuan ibu bapa yang tidak menerima kehadiran kanak-kanak yang memerlukan bantuan atau kasih sayang ibu bapa ketika kanak-kanak itu dalam kesusahan. 
b)        Pengasingan - Perlakuan ibu bapa menjauhkan kanak-kanak daripada bergaul bebas dengan masyarakat luar atau kawan-kawan mereka secara terlampau seperti mengurung kanak-kanak di dalam rumah arau bilik. 
c)        Menakutkan - Perlakuan ibu bapa yang menakutkan kanak-kanak jika mereka mengingkari arahan ibu bapa seperti mengatakan untuk membunuh atau meninggalkan kanak-kanak jika mereka degil. 
d)       Sikap tidak peduli - Perlakuan ibu bapa yang tidak ambil peduli sesuatu perkara yang berkaitan kanak-kanak seperti sengaja mengabaikan usaha kanak-kanak untuk mendapatkan belaian dari keluarga mereka. 
e)        Merasuah pemikiran kanak-kanak - Perlakuan ibu bapa yang menggalakkan kanak-kanak untuk melakukan jenayah atau kegiatan yang tidak sihat untuk kepentingan ibu bapa mereka sendiri.
 3. Penderaan seksual 

Penderaan seksual ialah pemaksaan terhadap kanak-kanak untuk melakukan atau melihat perkara yang berbentuk seksual tanpa kemahuan kanak-kanak tersebut seperti mencabul, liwat dan juga rogol. Penderaan ini mampu meruntuhkan masa depan kanak-kanak untuk menggapai cita-cita mereka. Perkara ini juga kita harus takutkan kerana bukan sahaja keluarga yang melakukan hal tersebut tetapi guru-guru mereka sendiri yang mencuba melakukan hal tersebut dengan kanak-kanak itu. Penderaan seksual tidak dapat dibendung lagi kerana penderaan ini semakin lama semakin meningkat dalam masyarakat di bandar dan juga di kampung. Salah satu penyebabnya ialah gejala media sosial yang meluas. Media sosial terdedah secara meluas dengan memaparkan aktiviti seksual kepada kanak-kanak sehingga kanak-kanak mencuba untuk melakukan hal tersebut. Untuk menangani penderaan seksual terhadap kanak-kanak ialah kita haris mendidik diri sendiri terbih dahulu kerana kadang-kadang orang dewasa merupakan penyebab penderaan seksual. Seterusnya, memahami dan mendengar keluhan kanak-kanak jika mereka mempunyai masalah. Apabila mereka cuba berkongsi masalah mereka dengan kita, itu berarti mereka memberi kepercayaan sepenuhnya kepada kita. Ibu bapa dan guru perlulah memberi peranan penting untuk mengajar kanak-kanak tentang penjagaan tubuh badan yang tidak boleh dipegang oleh orang yang tidak dikenali. 

Oleh itu, penderaan terhadap kanak-kanak harus dibendung kerana perkara ini dapat memusnahkan masa depan kanak-kanak. Bukan itu sahaja, ia juga dapat mengurangkan peningkatan perkembangan kanak-kanak dan juga kanak-kanak membesar dengan keadaan trauma untuk berinteraksi dengan kawan-kawan mereka dan juga orang yang menyayangi mereka. Kanak-kanak yang periang dan penghibur berubah menjadi pendiam sehingga dunia ini sepi tanpa gelak tawa kanak-kanak. Mari kita bangkit untuk mencegah penderaan kepada kanak-kanak.
 

No comments:

Post a Comment

Origami

    Membuat origami dapat mengajar kanak-kanak tentang erti kesabaran. Kanak-kanak akan bersabar membuat origami daripada langkah pertama...