Wavy Tail

Thursday, October 31, 2019

Bermain Basikal


Bermain basikal merupakan aktiviti fizikal yang menyeronokkan kepada kanak-kanak. Aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan jika dilaksanakan bersama-sama keluarga. Oleh itu, ibu bapa haruslah menyertai kanak-kanak bermain basikal agar dapat memperkukuhkan hubungan dengan kanak-kanak. Bermain basikal di luar rumah atau di taman rekreasi dapat mendedahkan kanak-kanak terhadap alam semula jadi dan menghirup udara yang segar. 
Ibu bapa boleh menggalakkan kanak-kanak bermain basikal apabila kanak-kanak sudah boleh berjalan. Ibu bapa wajarlah memilih basikal imbang berbanding basikal roda tiga kerana basikal imbang mempunyai banyak manfaatnya. Antaranya adalah basikal imbang dapat bergerak dengan lebih lancar pada tempat yang berbatu, berbukit dan tidak mudah terbalik berbanding basikal roda tiga. Kanak-kanak juga dapat belajar menyeimbangkan badan dengan menggunakan basikal imbang.

KEPENTINGAN BERMAIN BASIKAL 
1.       Meningkatkan perkembangan emosi 

Bermain basikal dapat meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak kerana mereka bergerak secara bebas. Kanak-kanak dapat mengenali dunia di sekeliling mereka dan berasa selesa dengan persekitaran mereka. Hal ini dapat memberi keyakinan kepada kanak-kanak untuk berada di luar rumah tanpa rasa takut. Bermain basikal dengan keluarga dan rakan-rakan dapat menjadikan kanak-kanak lebih bahagia dan positif. 
2.       Menguatkan otot dan tulang 

Bermain basikal dapat menguatkan otot-otot kanak-kanak. Bermain basikal juga dapat menguatkan tulang di bahagian atas anggota badan dan tulang belakang. Oleh itu, risiko kecederaan tulang kepada kanak-kanak akan berkurangan. Aktiviti berbasikal juga dapat menguatkan tulang kaki dan sendi lutut. Oleh hal yang demikian, berbasikal dapat membantu proses tumbesaran kanak-kanak dan menjadikan mereka lebih tinggi. 
3.      Meningkatkan perkembangan sosial

Bermain basikal membantu kanak-kanak bersosial dengan rakan-rakan serta orang sekeliling mereka. Hal ini dapat meningkatkan kemahiran komunikasi kanak-kanak. Bermain basikal juga dapat memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mempunyai kawan baru, berkongsi pandangan dan rahsia serta berseronok dengan rakan-rakan dan ibu bapa.
RUJUKAN:

  1. http://aktif.myhealth.gov.my/berbasikal/
  2. https://hotaru.my/5-sebab-anda-guna-pushbike/
  3. https://parenting.firstcry.com/articles/amazing-health-benefits-of-cycling-for-kids/
  4. Putri Afzan Maria Zulkifli. (2019). Ada Apa Dengan Bermain. Kuala Lumpur: EYTC Group & Resources Sdn. Bhd.

Thursday, October 24, 2019

Bermain Rumah Anak Patung (Doll House Play)


     Bermain rumah anak patung merupakan permainan yang membenarkan kanak-kanak membuat peniruan perbuatan yang telah mereka perhatikan daripada orang sekeliling mereka. Kanak-kanak perlu menamakan anak patung, mencipta dialog dan menggerakkan anak patung di dalam rumah anak patung. Bermain rumah anak patung juga memberi peluang kepada kanak-kanak untuk berimaginasi sebelum mereka dewasa.  
      KEPENTINGAN BERMAIN RUMAH ANAK PATUNG
     1.       Meningkatkan kemahiran sosial 
    Bermain rumah anak patung bersama rakan-rakan dapat meningkatkan kemahiran sosial dan empati kanak-kanak. Hal ini kerana apabila mereka bermain di dalam kumpulan, kanak-kanak akan belajar untuk menunggu giliran dan berunding dengan rakan-rakan mereka. 
      2.       Meningkatkan kemahiran motor halus
  Bermain rumah anak patung memerlukan kanak-kanak untuk menggenggam anak patung yang kecil dan perabot yang kecil yang dapat meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak. Permainan ini juga meningkatkan koordinasi mata dan tangan melalui memakai baju kepada anak patung yang kecil dan menyusun mainan rumah anak patung. Kemahiran motor halus amat penting kepada kanak-kanak untuk menulis, bermain alat muzik dan melakukan aktiviti-aktiviti harian. 
     3.       Meningkatkan perbendaharaan kata  

   Bermain rumah anak patung memberi peluang kepada kanak-kanak berbual pelbagai topik dengan rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, menghias rumah dan keberadaan anak patung seperti di atas, di bawah, di dalam dan di luar rumah. Oleh itu, kanak-kanak akan belajar perkataan baru yang baru mereka dengari melalui perbualan tersebut.  
  CADANGAN AKTIVITI KEPADA KANAK-KANAK KETIKA BERMAIN RUMAH ANAK PATUNG 

  • ·    Meminta kanak-kanak melakukan rutin harian dari pagi hingga      malam.
  • ·  Meminta kanak-kanak menyusun mainan di dalam rumah anak patung dengan baik agar dapat menampung lebih banyak anak patung.
  • ·  Mencari dan menggunakan pelbagai barangan di rumah untuk menghias rumah anak patung.
  • ·  Memberikan situasi yang perlu diselesaikan oleh kanak-kanak. Sebagai contoh, semua ahli keluarga ingin menonton televisyen tetapi mereka ingin menonton rancangan yang berbeza-beza.
  •    Menggalakkan kanak-kanak menceritakan semula kisah rumah anak  patung tersebut iaitu dari permulaan, pertengahan dan pengakhiran.

RUJUKAN:

  1.  https://www.hmetro.com.my/hati/2018/08/366796/ruang-imaginasi-si-cilik
  2. https://www.dealiciousmom.com/dollhouse-play-benefits-for-children/
  3. https://wehavekids.com/parenting/Dollhouses-Why-We-Love-Them
  4. Putri Afzan Maria Zulkifli. (2019). Ada Apa Dengan Bermain. Kuala Lumpur: EYTC Group & Resources Sdn. Bhd.


Thursday, October 17, 2019

Bermain Blok (Block Play)

Bermain merupakan permainan yang sangat penting kepada kanak-kanak bagi meningkatkan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Blok terdapat dalam pelbagai bentuk, saiz dan warna. Bermain blok dapat merangsang minda dan pembelajaran dari usia seawal peringkat bayi hingga ke tahap prasekolah. Dr Yong Junina Fadzil iaitu perunding pediatrik dan pakar kardiologi pediatrik menggalakkan ibu bapa memberikan permainan blok seawal usia setahun agar kanak-kanak dapat meluaskan daya imaginasi dan dapat mencipta bentuk yang kanak-kanak inginkan. 


KEPENTINGAN BERMAIN BLOK 

1.       Meningkatkan perkembangan sosial 
Bermain blok dapat meningkatkan perkembangan sosial kanak-kanak. Hal ini kerana bermain blok dapat mewujudkan interaksi dua hala apabila bermain di dalam kumpulan. Bermain blok juga dapat mewujudkan kerjasama antara kanak-kanak. Ibu bapa haruslah menyertai kanak-kanak bermain blok supaya dapat merapatkan hubungan kekeluargaan dan dapat menjadikan permainan tersebut lebih ceria dan menyeronokkan. Bermain blok bersama rakan-rakan dan ibu bapa dapat menambah kosa kata dan melatih kanak-kanak untuk bercakap. 
2.       Meningkatkan motor halus 

Bermain blok dapat meningkatkan daya koordinasi antara mata dan tangan kanak-kanak. Bermain blok juga dapat membina kekuatan jari dan tangan. Hal ini kerana kanak-kanak akan mengambil, menyusun dan memadankan blok untuk membina sesuatu. Pergerakan tangan dan jari apabila bermain blok dapat membantu mempercepatkan proses memegang pensel dengan betul. 
3.       Meningkatkan imaginasi dan merangsang kreativiti 

Bermain blok memberi peluang kepada kanak-kanak untuk membina sesuatu mengikut daya imaginasi mereka. Kanak-kanak akan gembira dan berpuas hati apabila melihat hasil ciptaan blok mereka. Ibu bapa boleh bertanya dan meminta kanak-kanak menerangkan hasil ciptaan mereka bagi menambah daya kreativiti kanak-kanak. 
4.       Meningkatkan kemahiran matematik 
Apabila kanak-kanak bermain dengan blok, mereka akan terdedah kepada pelbagai konsep matematik seperti bentuk, saiz, pengukuran, panjang, perbandingan dan nombor. Terdapat satu kajian “Block Play Performance among Preschoolers as a Predictor of Later School Achievement in Mathematics” di dalam Jurnal Penyelidikan Awal Kanak-kanak menyatakan bahawa kanak-kanak yang bermain blok apabila mereka berumur tiga, empat dan lima tahun akan berjaya dalam matematik, terutamanya Algebra di peringkat sekolah menengah.  
6 PERINGKAT YANG DIJANGKAKAN DALAM BERMAIN BLOK 
Peringkat 1- Membawa blok  
Peringkat 2- Menyusun blok dan membuat jalan 
Peringkat 3- Menyambung blok untuk membina struktur 
Peringkat 4- Membuat penutup 
Peringkat 5- Membuat pembinaan atau corak yang rumit 
Peringkat 6- Bermain dramatik dengan struktur kompleks

Thursday, October 10, 2019

Bermain Comot (Messy Play)


Bermain comot merupakan suatu permainan yang kreatif. Kanak-kanak dapat meluahkan perasaan dan meneroka imaginasi mereka melalui bermain comot. Bermain comot menyediakan kanak-kanak dengan pengalaman sentuhan dan mengilham rasa ingin tahu mereka. Bermain comot dapat memberikan kanak-kanak meneroka tekstur baru dan memanipulasi bahan yang berbeza melalui sentuhan.

Bermain comot juga dapat meningkatkan perkembangan kanak-kanak secara holistik iaitu dari segi jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial. 


 KEPENTINGAN BERMAIN COMOT 

1.     Meningkatkan kemahiran motor halus 

                                    
Bermain comot dapat membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran motor halus mereka. Apabila kanak-kanak memerah doh lembut, bermain pasir dan bermain buih, kanak-kanak akan menggunakan otot-otot di jari, pergelangan tangan, lengan, kaki dan bahu bagi membuat pergerakan kecil yang dapat meningkatkan kemahiran motor halus. 

2.     Meningkatkan kemahiran motor kasar



Bermain comot dapat meningkatkan kemahiran motor kasar kanak-kanak apabila permainan tersebut meningkat ke peringkat seterusnya. Apabila kanak-kanak melompat di dalam air, kanak-kanak menggunakan otot yang lebih besar iaitu tangan, kaki dan badan bagi membuat pergerakan yang lebih besar yang dapat menyokong keseimbangan, koordinasi dan kekuatan. 

3.     Menguatkan otot


Bermain comot dapat menguatkan otot-otot di tangan dan jari kanak-kanak. Apabila otot-otot tangan mereka semakin meningkat, tangan kanak-kanak bersedia untuk memegang pensel dan mengawal pergerakan untuk menulis. Bermain di dalam lumpur juga dapat menguatkan otot iaitu otot-otot di kaki. 

4.     Koordinasi mata dan tangan


Bermain comot memberi peluang kepada kanak-kanak bereksperimen melalui sentuhan yang juga dapat meningkatkan koordinasi mata dan tangan kanak-kanak. Apabila kanak-kanak bermain tanah liat dan menguntai manik, penumpuan mereka meningkat dan dapat mengembangkan koordinasi mata dan tangan mereka. 

5.     Kawalan badan dan keseimbangan


Bermain comot dapat meningkatkan kawalan badan kanak-kanak dan mengimbangi pergerakan kecil dan besar yang mereka lakukan ketika bermain. Apabila kanak-kanak menuang air dari satu bekas ke tempat lain dan bermain di dalam kolam, ia dapat membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran motor halus dan kasar serta dapat meningkatkan kawalan dan keseimbangan mereka. 

6.     Kesedaran Spatial

Bermain comot memberi peluang kepada kanak-kanak untuk belajar tentang sempadan. Sebelum bermain, ibu bapa dan guru haruslah menetapkan peraturan. Sebagai contoh, kita hanya bermain pasir di dalam bekas pasir dan kita hanya mewarna di atas dulang. Oleh itu, kanak-kanak akan belajar untuk mengenal sempadan dan tidak membuat kotor pada ruang lain.

Konklusinya, ibu bapa boleh bermain comot bersama kanak-kanak pada setiap hari iaitu ketika waktu mandi, makan, memasak dan berkebun. Ibu bapa patut meluangkan masa bersama kanak-kanak dan jadikannya satu kebiasaan bagi memastikan hubungan yang kukuh sehingga mereka membesar.

RUJUKAN:

  1. https://www.majalahpama.my/biarlah-anak-comot-dan-main-kotor-sebab-itu-tandanya-mereka-sedang-belajar-banyak-benda/
  2. https://www.yoy.my/anak-yang-comot-3-kali-ganda-lebih-sihat-dan-bijak-lihat-5-aktiviti-kotor-yang-bermanfaat-ini/
  3. http://www.earlyyearsresources.co.uk/blog/2018/06/messy-play-physical-benefits/
  4. Putri Afzan Maria Zulkifli. (2019). Ada Apa Dengan Bermain. Kuala Lumpur: EYTC Group & Resources Sdn. Bhd.

Thursday, October 3, 2019

Bermain Boneka (Puppet Play)


Boneka merupakan objek yang dilakonkan oleh pemain yang bertujuan untuk menyampaikan mesej. Boneka mempunyai pelbagai jenis iaitu haiwan, manusia, bunga, kartun kegemaran kanak-kanak dan sebagainya. Terdapat pelbagai manfaat bermain boneka kepada kanak-kanak yang dapat meningkatkan perkembangan mereka.


Kepentingan Bermain Boneka (Puppet Play)

1.     Meningkatkan Imaginasi


 Apabila kanak-kanak bermain boneka, kanak-kanak dapat menghasilkan penceritaan dengan menggunakan boneka mereka. Kanak-kanak juga akan menamakan boneka mereka. Permainan ini amat menyeronokkan dan amat mudah digunakan iaitu dengan menggerakkan badan dan kepala boneka.

2.     Meningkatkan kemahiran berfikir


Bermain boneka dapat meningkatkan perkembangan memori kanak-kanak. Hal ini kerana kanak-kanak perlu menceritakan semula cerita yang telah mereka dengari. Kanak-kanak harus mengikut jalan cerita dengan urutan yang betul. Mengikut urutan cerita mungkin menjadi masalah kepada kanak-kanak yang memerlukan kemahiran penyelesaian masalah. Oleh itu, bermain boneka juga dapat meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah.
     3. Meningkatkan perkembangan emosi
Sesetengah kanak-kanak malu untuk meluahkan perasaan mereka kepada ibu bapa dan orang sekeliling. Kanak-kanak dapat meluahkan perasaan mereka melalui bermain boneka. Mereka akan meluahkan perasaan mereka secara tidak sedar. Oleh itu, ibu bapa haruslah mengambil peduli terhadap penceritaan kanak-kanak melalui bermain boneka. Bermain boneka juga dapat mengajar kanak-kanak mengenai emosi seperti emosi marah, sedih, takut dan gembira.

4. Meningkatkan kemahiran motor

Bermain boneka dapat meningkatkan motor halus kanak-kanak. Hal ini kerana bermain boneka perlu menggunakan tangan dan jari bagi menggerakkan boneka. Kanak-kanak juga perlu membuat pergerakan mencubit apabila ingin mengambil sesuatu. Kemahiran motor halus membantu kanak-kanak menjalani kehidupan seharian dengan baik. Contohnya, kanak-kanak dapat membutangkan baju dan mengikat tali kasut dengan baik.
5. Belajar nilai murni 


Ibu bapa dan guru dapat menyampaikan mesej dan nilai murni melalui bermain boneka kepada kanak-kanak. Antara nilai yang boleh disampaikan ialah nilai tolong-menolong dan hormat-menghormati. Permainan ini amat menyeronokkan bagi kanak-kanak dan mereka belajar mengenai nilai-nilai murni tanpa mereka menyedarinya.
6. Meningkatkan kemahiran bahasa


Kanak-kanak dapat belajar membina ayat dan mencari perkataan yang tepat bagi menyampaikan cerita mereka melalui boneka. Bermain boneka juga dapat membantu kanak-kanak untuk bercakap dengan kuat. Ibu bapa dan guru boleh mengadakan persembahan boneka agar kanak-kanak dapat mempersembahkan cerita mereka di khalayak ramai. Oleh itu, bermain boneka juga dapat meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak untuk bercakap di hadapan khalayak ramai.

RUJUKAN:

  1. http://craftandchilrenarts.blogspot.com/2012/01/boneka-puppet.html
  2. https://www.openschoolbag.com.sg/blog/benefits-of-puppet-play/
  3. Putri Afzan Maria Zulkifli. (2019). Ada Apa Dengan Bermain. Kuala Lumpur: EYTC Group & Resources Sdn. Bhd.

Origami

    Membuat origami dapat mengajar kanak-kanak tentang erti kesabaran. Kanak-kanak akan bersabar membuat origami daripada langkah pertama...